[ad_1]
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO berlangsung malam ini hanya memfokuskan isu berkaitan Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung esok.
Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada para media di pekarangan Menara Dato Onn di sini hari ini.
“Ia berkenaan usul dan laporan daripada wakil MT yang menghadiri mesyuarat sayap, itu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita.
Ketika ditanya berkenaan sama ada usul Pilihan Raya Umum (PRU) dibincangkan atau sebaliknya, Naib Presiden UMNO itu hanya menjelaskan perkara itu tiada disentuh.
“Tiada,” jawab beliau dengan ringkas.
Ismail Sabri kemudian meminta pemberita untuk menunggu sehingga esok bagi mengetahui lebih lanjut berhubung butiran usul yang dijangka dikemukakan pada Perhimpunan Agung itu.
Selain itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga menjelaskan mesyuarat malam ini adalah berkaitan persediaan perhimpunan parti pada pagi esok.
Sebelum ini, desakan pembubaran Parlimen oleh UMNO bagi memberi membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin hangat diperkatakan oleh pemimpin parti.
Tuntutan itu dilaporkan menjadi intipati utama Perhimpunan Agung UMNO 2021 menerusi ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur.
[ad_2]
Source link