[ad_1]
KANGAR : Husmat Furnishings yang terus berkembang pesat dengan kewujudan empat cawangan di negeri ini dan Kedah bukan sekadar tempat persinggahan sebaliknya platform bagi kakitangan membina kerjaya di perusahaan perabot terkenal itu.
Justeru, seluruh 45 kakitangan di seluruh cawangannya di Kangar, Kuala Perlis, Pokok Sena dan Jitra, Kedah dituntut memberi sepenuh komitmen dan tanggungjawab dalam sama-sama membangunkan Husmat Furnishings.
Pengarah Urusannya, Husnorleyda Hussin,39, berkata, jadikan Husmat Furnishings sebagai tempat membina kerjaya dan masa depan bukan sekadar ingin bekerja secara sambilan semata-mata.
Katanya, dengan kekuatan dan kerjasama seluruh kakitangan daripada semua peringkat bakal menjadikan Husmat Furnishings bukan sekadar kedai perabot biasa, sebaliknya membawa perusahaan perabot itu terus berkembang pesat di dalam dan luar negara.
“Sejak beroperasi pada 2009, kita semakin berkembang pesat dengan sudah mempunyai empat cawangan. Fokus kita di Husmat Furnishings adalah mewujudkan sebuah pasukan yang kuat di sini. Bagi merealisasikan hasrat itu, menuntut komitmen seluruh kakitangan.
“Kejayaan kita adalah dengan kerjasama, komitmen dan tanggungjawab semua. Jadikan Husmat Furnishings sebagai platform kita membina kerjaya dan percayalah masa depan kita cerah di sini jika kakitangan terus berusaha. Seluruh kakitangan juga mempunyai potensi dan serlahkanlah bakat tersebut dalam sama-sama membangunkan perusahaan perabot ini.
“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada suami, Salimin Salleh, bapa, Hussin Mat, ibu, Nashitoh Pin serta seluruh keluarga yang menjadi tulang belakang menyokong setiap usaha, percaya impian saya sehingga mampu memberi manfaat kepada ramai orang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam dan Anugerah Pekerja Husmat Furnishings 2021 di cawangan Kangar di sini hari ini.
Pada majlis tahunan meraikan pekerja tersebut, pihak syarikat turut memberikan kejutan istimewa dengan menghadiahkan kereta jenis Honda Metropolis kepada empat kakitangan.
Mereka yang menerima kereta tersebut adalah Pengurus Sumber Manusia Husmat Furnishings Kuala Perlis, Ainal Mardya Jamil; Pengurus Operasi di cawangan sama, Siti Salbiah Mahamad; Pengurus Pemasaran di cawangan Kangar, Nor Zahirah Zulkornain dan Pengurus Jualan cawangan Kangar, Seri Mas Idayu Su.
Selain itu, empat kakitangan lain turut menerima hadiah berupa Sijil Simpanan ASB bernilai RM15,000 setiap seorang selain pelbagai lagi hadiah lain bagi menghargai sumbangan para pekerja.
Hadiah kereta tersebut adalah sebagai menghargai pencapaian dan komitmen cemerlang kakitangan berkenaan seterusnya bakal memberi inspirasi serta semangat kepada pekerja lain untuk terus berusaha.
Dalam pada itu, sempena meraikan ulang tahun yang ke-13, Husmat Furnishings menawarkan kempen beli perabot menang emas yang bermula 1 Mac sehingga 31 Mei sebagai menghargai para pelanggan yang terus setia.-UTUSAN
The publish Bina kerjaya di Husmat Furnishings appeared first on Utusan Digital.
[ad_2]
Source link