[ad_1]
MELAKA – Seorang pemandu bas diberkas di Melaka Sentral di sini, hari ini selepas dipercayai telah mencabul seorang penumpang wanita dalam perjalanan dari Kelantan ke Melaka.
Suspek berusia 27 tahun itu diberkas sebaik sahaja bas dipandunya tiba di terminal kira-kira pukul 10.30 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, sebaik sahaja menerima maklumat, sepasukan polis telah digerakkan ke terminal untuk menunggu ketibaan bas tersebut.
“Kita dapat maklumat seorang wanita telah dicabul suspek ketika bas itu berhenti di Ajil, Terengganu kira-kira pukul 4 pagi.
“Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang tidur sebelum terjaga apabila menyedari badannya diraba oleh suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, bagaimanapun kes tersebut akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu susulan kejadian berlaku di Ajil.
“Namun demikian, kita telah meminta mangsa membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah pada pukul 12 tengah hari tadi,” katanya.
Dalam pada itu, kejadian tersebut turut dikongsikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh menerusi satu klip video berdurasi 3 minit 41 saat di laman Facebooknya.
Menurutnya, dia telah menerima kiriman mesej daripada kenalan Fb memaklumkan kejadian yang menimpa wanita itu dan meminta pihaknya membantu menyelamatkan mangsa.
“Rakan saya ini memaklumkan rakannya telah dicabul oleh pemandu bas berkenaan dan saya meminta nombor telefon untuk menghubunginya.
“Mangsa dikatakan tidak menjerit kerana terlalu takut dan hanya mampu nangis teresak-esak ketika kejadian berlaku,” katanya.
Ujarnya, dia bersama beberapa rakannya turut menunggu ketibaan bas tersebut di terminal bagi memastikan suspek berjaya diberkas dan mangsa diselamatkan.
Katanya, dia berharap si pelaku akan dikenakan tindakan undang-udang dengan hukuman yang paling berat atas kesalahan serius dilakukannya. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link