[ad_1]
KUALA NERUS: Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Zah Mohamad, 63, dinobatkan sebagai Tokoh Guru Terengganu 2022, hari ini.
Beliau yang berkhidmat selama 35 tahun dalam bidang pendidikan menerima wang tunai RM5,000, di samping selempang, pingat, persalinan songket dan telekung, jam tangan, tudung, plak dan sijil penghargaan.
Zah berkata, pengiktirafan itu adalah yang tertinggi pernah diraih dan ingin dikongsikan dengan warga sekolah terakhirnya sebelum bersara tiga tahun lalu.
Katanya, keakrabannya dengan pelajar bermula sejak awal kerjaya pada 1984, malah turut menganggap mereka sebagai anak-anaknya.
“Anugerah ini adalah untuk SMK Padang Midin, malah hingga kini saya masih berhubung dengan guru-guru dan pelajar di sana.
“Prinsip saya adalah ikhlas dalam bertugas di samping menjalankan tugasan mendidik anak bangsa dengan penuh kasih sayang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Guru 2022, di sini hari ini.
Hadiah disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Zah berkata, walaupun sudah bersara, dia masih aktif berpersatuan sebagai Setiausaha Kehormat Majlis Pengakap Terengganu selain Naib Pengerusi, Penglibatan Ibubapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Kuala Terengganu.
Malah, katanya, dia turut menulis tiga buku berkaitan pengurusan dan pentadbiran dalam bidang pendidikan.
Dalam majlis itu, sebanyak 40 anugerah disampaikan termasuk Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan yang diberikan kepada Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd. Zubir Embong. – UTUSAN
[ad_2]
Source link