[ad_1]
PERJUANGAN skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara di pentas Piala Asia B-23 akhirnya menemui titik noktah apabila tunduk 0-3 berdepan Thailand pada aksi kedua Kumpulan C Piala Asia B-23 di Stadium Bunyodkor, malam tadi.
Pendedahan yang diidamkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini nyata menjadi realiti, namun skuad muda negara jugak terpaksa akur kualiti yang dimiliki belum cukup untuk bersaing di pentas tertinggi.
Seperti yang menjadi kerisauan banyak pihak, aspek penyudah jelas menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan dan skuad negara wajar menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengambil peluang selepas dilihat lebih banyak mengawal permainan.
Walaupun tidak menghantar lebih ramai pemain untuk membantu jentera serangan, penyerang skuad Gajah Perang menyerlahkan kualiti tersendiri dengan Suphanat Mueanta muncul hero apabila menyumbangkan dua gol buat pasukannya.
Suphanat berjaya membuka jaringan pada minit ke-23 perlawanan sekaligus memastikan Thailand memasuki bilik persalinan dengan penuh senyuman.
Menyedari pasukan makin terdesak untuk memburu jaringan, percaturan pengendali negara, Brad Maloney memasukkan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak menghadirkan impak positif apabila sering menghadirkan situasi cemas kepada benteng lawan, namun aspek penyudah sekali lagi mengecewakan.
Ketika pemain negara makin ghairah memburu gol penyamaan, sedikit kelekaan di barisan belakang membuka peluang buat Channarong Promsrikaew meledak gol kedua Thailand pada minit ke-69.
Hanya tiga minit selepas itu, segalanya sudah berakhir buat Malaysia apabila Suphanat sekali lagi merakam namanya selaku penjaring untuk memastikan kemenangan 3-0 buat Thailand. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link