[ad_1]
KUALA LUMPUR: Wanita yang didakwa kekasih kepada pengarah Syamsul Yusof, Faghirah Fatini Kazaruddin atau Ira Kazar diberi tempoh sebulan untuk memasukkan pembelaan dalam saman yang dikemukakan pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.
Perkara itu ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen di sini ketika sesi pengurusan kes di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, hari ini.
Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah Liyana berkata, mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes selanjutnya selepas mengarahkan Ira Kazar (defendan) memasukkan pembelaan dalam tempoh sebulan.
Ujar peguam bela, jika perlu, Puteri Sarah Liyana yang turut dikenali sebagai Puteri Sarah (plaintif) akan menjawab pembelaan tersebut.
“Jika tidak, mahkamah akan tetapkan tarikh bicara,” katanya kepada wakil media selepas pengurusan kes.
Mahkamah turut menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes selanjutnya.
Dalam pada itu, Akberdin turut memaklumkan, mahkamah mengekalkan perintah interim injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang antaranya melarang defendan mengeluarkan, menyebar dan menghantar sebarang kenyataan atau apa sahaja bentuk gangguan kepada Puteri Sarah dalam media sosial sehingga kes perbicaraan penuh.
“Pihak defendan tidak membantah dan perintah interim injuksi itu dikekalkan mahkamah,” kata peguam itu.
Sementara itu ketika ditanya sama ada kes saman berkemungkinan diselesaikan secara baik oleh kedua-dua belah pihak, Akberdin berkata setakat ini kedua-dua pihak belum lagi bercadang ke arah itu.
“Sekiranya ada inisiatif (selesai cara baik) kita tengok dulu. Kita bukan meninggi diri, asalkan tawaran itu logik kita akan pertimbangkan selepas mendapat arahan anak guam (Puteri Sarah),” kata peguam itu lagi.
Selain Akberdin, peguam plaintif yang turut hadir dalam pengurusan kes itu ialah Siti Natasha Basheer Hassan dan Ummi Kartini Abd. Latiff.
Dalam pada itu, peguam Ammar Ghalip yang mewakili Ira Kazar ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya perlu memasukkan pembelaan dalam tempoh sebulan atau pada 4 Ogos ini.
“Saya sudah menyerahkan kehadiran kepada plaintif dan mahkamah mengesahkan defendan (anak guam) telah melantik peguam dan kehadiran dimasukkan pada Jumaat lalu,” kata Ammar.
Dalam prosiding hari ini, Puteri Sarah dan Ira Kazar tidak hadir ke mahkamah dan hanya mewakilkan peguam masing-masing.
Media sebelum ini melaporkan, Puteri Sarah bertindak memfailkan saman di Mahkamah Sesyen di sini dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung gangguan dan pemerasan yang diterimanya daripada Ira Kazar yang juga anak kepada pelakon veteran Kazar.
Menurut Puteri Sarah, kedua-dua tindakan tersebut dilakukannya setelah sekian lama berdepan pelbagai gangguan yang dilakukan Ira Kazar yang didakwa kekasih suaminya.
Terdahulu, pergolakan rumah tangga pasangan selebriti itu berlarutan sejak empat tahun lalu selain Puteri Sarah mengesahkan tidak lagi tinggal sebumbung dengan Syamsul gara-gara gangguan orang ketiga.
Dia sebelum ini mendedahkan Ira Kazar berterusan mengganggunya dan Syamsul sejak tahun 2019 lagi.
Pelakon berkenaan juga mendakwa, individu terbabit melakukan gangguan-gangguan berkenaan dengan bersembunyi di sebalik puluhan akaun media sosial palsu yang diciptanya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial yang mengatakan pengarah filem Mat Kilau itu sudah pun berkahwin dengan Ira Kazar, namun dinafikan Syamsul. – UTUSAN
[ad_2]
Source link