[ad_1]
SUNGAI PETANI – Seorang lelaki mengamuk dengan membakar sebuah pondok dan memecahkam cermin sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di Taman Seri Astana di sini pagi ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu dikatakan berlaku selepas suspek berusia 54 tahun berang kerana tidak dapat menemui isterinya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek juga didapati memegang sebilah parang dalam kejadian tersebut.
“Suspek sebelum itu dikatakan mencari isterinya di rumah mereka di taman perumahan di situ selain di pasar pagi namun tidak menemuinya.
“Lelaki terbabit kemudian pergi ke kedai makan yang sebelum ini diusahakan bersama isterinya dan masih tidak menemui wanita berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, suspek yang berang terus mengamuk dengan membakar sebuah pondok di belakang kedai makan milik mereka.
“Suspek yang merupakan seorang penganggur turut memecahkan cermin MPV jenis Naza Ria milik orang awam yang diletakkan berdekatan kedai makan tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, suspek seterusnya melarikan diri di kawasan semak belakang pondok yang dibakarnya.
Katanya, pihaknya yang menerima laporan berhubung kejadian bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek.
“Ketika ditahan suspek tidak melawan dan mengaku bertindak sedemikian kerana tertekan akibat masalah rumah tangga.
“Kita turut merampas sebilah parang dan semakan awal mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan empat rekod dadah,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 435/427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api, khianat pecah cermin kenderaan dan ugutan jenayah. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link