[ad_1]
ARAU: UMNO tidak sepatutnya menghalang negeri atau bahagian yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, terdapat negeri dan bahagian daripada UMNO sendiri yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Pas demi penyatuan ummah selain percaya kerjasama itu membuka lebih peluang menang dalam pilihan raya nanti.
Katanya, UMNO dinasihat meneliti keputusan tidak memberi sebarang autonomi kepada kepemimpinan negeri untuk bekerjasama menerusi MN khususnya di negeri-negeri yang dilihat berpotensi menang jika kedua-dua parti terbesar Melayu Islam itu bersatu.
Beliau berkata, jangan disebabkan keegoan tersebut menjadi punca pihak lawan menang dalam pilihan raya nanti.
“Kita tidak boleh halang UMNO, terpulang kepada mereka (tidak memberi sebarang autonomi kepada kepimpinan negeri bekerjasama). Bagi saya, tidak sepatutnya UMNO halang negeri atau bahagian hendak bekerjasama demi penyatuan ummah.
“Apa jua peraturan atau ketetapan yang dibuat, jangan ketepikan perpaduan ummah. Saya harap UMNO fikir balik mengenainya. Kita berpeluang menang khususnya di negeri seperti Selangor dan lain-lain jika bekerjasama,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, UMNO tidak memberi sebarang autonomi kepada kepemimpinan negeri dan bahagian untuk bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebaliknya semua pihak perlu merujuk ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Mac lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, ketetapan PAU itu merangkumi keseluruhan negeri termasuk Selangor yang sebelum ini meminta kuasa autonomi diberikan sebagai usaha menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Hashim berkata, Pas terus mempertahankan MN demi penyatuan ummah dan kini terserah kepada UMNO sama ada mahu meneruskan kerjasama atau sebaliknya.
“Bagaimanapun, jika hubungan ini tidak dapat dikekalkan, kita tiada pilihan terpaksalah bertembung. Sebaik-baiknya carilah jalan penyelesaian untuk pertahankan kerjasama ini,” katanya. -UTUSAN
[ad_2]
Source link