[ad_1]
WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) membatalkan pelancaran roket `paling berkuasa’ milik agensi itu, berikutan masalah suhu di bahagian enjin roket itu.
Matlamat utama pelancaran itu adalah untuk menguji Sistem Pelancaran Angkasa Lepas (SLS) dan kapsul Orion yang dipasang pada bahagian atas roket.
Memetik laporan BBC, pasukan jurutera bergelut untuk menangani masalah suhu pada satu daripada empat enjin roket setinggi 100 meter itu.
Pasukan jurutera itu mengesan masalah dengan suhu dalam satu daripada empat enjin RS-25 dan menahan kira detik sebelum akhirnya membatalkan pelancaran.
SLS merupakan roket paling besar yang pernah dibangunkan oleh NASA.
Malah, SLS digunakan dalam misi membawa kembali manusia ke bulan.
Penerbangan sulung yang merupakan sebahagian program Artemis NASA, hanyalah demonstrasi tanpa anak kapal mengelilingi Bulan.
Pembatalan itu mengecewakan ratusan ribu orang yang berkumpul di kawasan pantai dan berhampiran Pusat Angkasa Kennedy di Florida untuk menyaksikan pelancaran itu, yang diadakan 50 tahun selepas angkasawan Apollo 17 kali terakhir menjejakkan kaki di Bulan.
NASA dijangka melancarkan roket baharu itu pada Jumaat ini sekiranya masalah enjin dapat diselesaikan sebelum hari berkenaan. – AGENSI/AFP
[ad_2]
Source link