[ad_1]
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang menjalani rawatan dan pemeriksaan di Wad 21, Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak ubah seperti `bom jangka’.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata ia berikutan masalah ulser dalam perut yang dihadapi Ahli Parlimen Pekan itu sejak sekian lama.
“Najib ada sejarah berkaitan ulser dan kira-kira tiga bulan lalu, keadaannya berada di tahap kritikal. Tahap hemoglobin (sel darah merah) Najib turun ke tahap sangat rendah dan keadaannya pada ketika itu seperti bom jangka. Pendarahan tersebut boleh menyebabkannya diserang angin ahmar.
“Pihak hospital sedang menjalankan beberapa ujian terhadap Najib untuk menentukan sama ada masalah tekanan darah yang dihadapinya mempunyai kaitan dengan masalah ulser ini,” kata peguam itu.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian bertanyakan kepada Muhammad Shafee adakah perubahan jenis ubat bagi merawat tekanan darah tinggi Najib menjadi punca kepada masalah kesihatan yang dihadapi oleh anak guamnya itu.
“Ya. (Najib) diberikan ubat yang sama tetapi ada yang ubat `authentic’, ada yang generik. Ubat generik tidak begitu yang berkesan seperti yang `authentic’. Sekarang, Najib telah diberikan ubat yang `authentic’ dan tekanan darahnya sudah mulai menurun tetapi masih belum berada di tahap yang memuaskan,” ujar Muhammad Shafee.
Pada prosiding yang sama, Muhammad Shafee turut mengemukakan sijil cuti sakit Najib yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia dan ditandatangani oleh Pakar Perubatan Klinikal.
Sijil tersebut menyatakan Najib tidak boleh menghadiri prosiding perbicaraannya selama dua hari bermula hari ini. Sehubungan itu, perbicaraan kes itu akan bersambung 26 September ini.
Semasa prosiding pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib tidak mengemukakan sebarang bantahan memandangkan sijil sakit berkenaan dikeluarkan dan disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link