[ad_1]
KUALA LUMPUR : Usaha untuk membantu Zamani Ibrahim, 51, menampung kehidupan selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung diteruskan dengan pelancaran sebuah tabung khas, malam tadi.
Tabung yang dibuka untuk tempoh 24 jam itu diumumkan pengacara, Datuk Aznil Nawawi ketika berlangsung Konsert Doa Buat Zamani Unplugged di Zepp Kuala Lumpur.
“Sebelum ini, kita berjaya kutip RM122,000 dalam tempoh kurang 32 jam untuk kos pembedahan pada November ini yang dianggarkan RM80,000 hingga RM90,000.
“Lebihan wang tabungan itu boleh digunakan untuk kelangsungan hidup Zamani selepas pembedahan nanti.
“Saya berterima kasih kepada peminat Zamani yang turut bersama dalam usaha mengumpul dana untuk membantu penyanyi itu,” katanya.
Menurut Aznil, Zamani tidak selesa meminta wang dan belas ihsan ramai, sebaliknya lebih rela bekerja bagi mengumpul wang untuk membiayai pembedahan.
“Saya memilih memendekkan usaha tersebut dan secara diam-diam membuka tabung untuk Zamani.
“Saya tak sangka dia masih bersemangat menghiburkan peminat walaupun dalam keadaan begitu,” katanya.
Sebagai permulaan, Aznil membuka lelongan beg berjenama mewah kepunyaannya berharga RM15,000 untuk tujuan tersebut.
Bagaimanapun, tidak sampai 20 minit, beg tersebut dibeli oleh penyanyi nasyid, Dr Fitri Haris yang diundang membacakan doa pada konsert tersebut.
“Selepas berbincang dengan isteri, kami setuju beli beg tersebut sebab kami memang peminat Zamani.
“Bukan sebab jenama beg tersebut tetapi saya memang berniat membantu Zamani,” katanya.
Konsert anjuran Indera Leisure turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin Abdul Rahman.
Selain Aznil, konsert itu turut menampilkan persembahan rakan artis seperti Datuk Ramli Sarip, Rahim Maarof dan Fauziah Latiff serta disaksikan 3,000 penonton.
[ad_2]
Source link