[ad_1]
KUALA NERUS – Aliran trafik di Terengganu khususnya Lebuh Raya Pantai Timur 2 semakin sesak dengan kenderaan perantau yang pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.
Tinjauan Kosmo! di Plaza Tol Gemuroh hari ini mendapati kesesakan sepanjang lebih dua kilometer dan dijangka berlarutan sehingga lewat malam ini.
Seorang pekerja kilang, Abdullah Idris, 27, berkata, dia bersama dua rakannya memilih bermotosikal hampir 15 jam untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi ke Tanah Merah, Kelantan dari Johor Bahru.
“Alhamdulillah, perjalanan menunggang motosikal selesa kerana cuaca redup sepanjang perjalanan.
“Begitupun, kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya agak sesak seolah-olah kita sedang berada di musim perayaan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Seorang pelajar, Luqmanul Haqim Ahmad, 20, pula sangat teruja dapat pulang ke Kuala Terengganu untuk menunaikan kewajipan sebagai pengundi untuk kali pertama pada PRU15 ini.
“Saya dan kawan-kawan yang berasal dari Terengganu berpakat berkongsi kereta bagi menjimatkan perbelanjaan dan mula bertolak dari Sepang, Selangor selepas Subuh tadi.
“Jalan memang agak sesak sebaik sahaja memasuki Plaza Tol Gombak namun kami seronok kerana ini adalah pengalaman yang sangat ‘mahal’ dan ‘manis’ dikenang, apatah lagi melihat banyak kereta yang mengibarkan bendera dan brand parti politik pilihan masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link