[ad_1]
PETALING JAYA – Kemunculan enyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyampai berita segmen ramalan cuaca menerusi Berita Wilayah dalam saluran TV1 mengejutkan peminatnya, sekali gus meraih pujian orang ramai.
Kolaborasi pelantun lagu Anta Permana itu bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebenarnya bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang keadaan cuaca semasa dan sentiasa menjaga diri ketika berlakunya bencana alam seperti banjir.
Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Taruddin, 43, berterima kasih kepada METMalaysia atas jemputan dan berharap agar kolaborasinya berkenaan dapat menggalakkan orang ramai untuk kekal cakna dengan keadaan cuaca semasa.
“Alhamdulillah, terima kasih METMalaysia menjemput saya berkolaborasi dengan menyampaikan ramalan dan keadaan cuaca pada 21 Disember 2022 (Rabu).
“Kolaborasi diharap dapat menggalakkan orang ramai mengikuti keadaan cuaca dan bertindak mengikut nasihat berkaitan risiko bencana seperti banjir, angin kencang dan laut bergelora,” ujar Siti menerusi satu hantaran dalam Instagramnya.
Tinjauan Kosmo! dalam ruangan komen mendapati, rata-rata netizen memuji inisiatif METMalaysia membawa selebriti berpengaruh untuk menyampaikan laporan cuaca bagi menarik perhatian orang ramai kekal cakna dan berwaspada dengan bencana alam.
“Satu inisiatif yang bagus oleh METMalaysia, selebriti ramai pengikut secara tidak langsung orang ramai akan dengar dan cakna selain mengikuti perkembangan idolanya,” komen seorang netizen.
“METMalaysia kena jemput ramai lagi artis untuk baca laporan cuaca, tidak ramai orang suka untuk dengar apa lagi cakna dengan berita. Dengan adanya artis sebagai penyampai laporan cuaca, pasti orang ramai lebih teruja untuk mendengar. Syabas!,” komen seorang netizen lagi.
Dalam pada itu, terdapat juga orang ramai terutama peminat menyifatkan isteri kepada Datuk Khalid Jiwa itu sebagai selebriti serba boleh dengan pakej lengkap vokal cemerlang dan mempunyai aura tersendiri.
“TokTi (panggilan kepada Siti Nurhaliza) sangat serba boleh, baca berita pun suara merdu, kita yang tengok ni terpesona betul,” komen seorang peminatnya.
“Kalau macam ini lah penyampai berita, hari-hari pun tidak apa, aura Siti sememangnya dapat memukau orang ramai, saya pasti ramai yang akan cakna selepas ini dengan berita-berita bencana seperti banjir jika Siti Nurhaliza penyampainya,” tulis netizen di ruangan komen.
Penampilan istimewa penyanyi tersohor yang menggayakan sut berwarna hitam pekat dikenakan dengan tudung berwarna kelabu kelihatan sangat tenang dan profesional dalam menyampaikan laporan cuaca. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link