[ad_1]
LIPIS – Seorang warga emas yang tinggal seorang diri maut selepas rumah didiaminya di Kampung Paya Keladi, Chegar Perah di sini musnah dalam kejadian kebakaran petang tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu mangsa Yusof Kindok,77, ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di luar rumah dalam keadaan melecur di beberapa bahagian badan.
“Mayat mangsa ditemukan di luar rumah kira-kira lima meter dari rumahnya yang terbakar dan mangsa tinggal seorang diri semasa kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan punca kebakaran masih dalam siasatan,”katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya yang menerima panggilan pada pukul 5.15 petang telah bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kebakaran yang terletak kira-kira 33 kilometer dari balai bomba. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link