[ad_1]
PUTRAJAYA: Sabitan salah terhadap Datuk Seri Najib Razak wajar diketepikan selepas bekas Perdana Menteri itu tidak diwakili oleh mana-mana peguam dalam rayuan akhirnya.
Menurut Hakim Besar Sabah Sarawak, tiada sebarang alasan yang diberikan sebagai justifikasi kenapa bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak boleh mendapat sebarang penangguhan memandangkan beliau tidak lagi diwakili peguam selepas peguam belanya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada mewakili Najib.
“Hanya sebelah pihak sahaja yang berhujah iaitu pihak pendakwaan. Pihak pendakwaan berhujah selama dua hari tetapi (rayuan) pemohon (Najib) langsung tidak didengar.
“Pemohon tidak mendapat keadilan, beliau berada dalam keadaan yang tidak adil buatnya, dia berada dalam kekurangan kerana tidak diwakili pada rayuan terdahulu,” kata hakim itu.
Hakim Abdul Rahman merupakan satu-satunya hakim yang menentang keputusan majoriti untuk menolak permohonan Najib mendapatkan kebenaran untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu.
Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC Worldwide.
Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak (ketika itu), Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Dengan keputusan tersebut, Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang pada hari yang sama.
Pada 18 Ogos 2022 iaitu pada hari ketiga pendengaran rayuan akhir Najib, Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas Presiden UMNO itu kerana beliau tidak dapat membuat persediaan sewajarnya ekoran baharu sahaja mengambil alih kes itu daripada peguam terdahulu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Permohonan menarik diri itu bagaimanapun ditolak oleh mahkamah.
Merujuk kepada fakta yang mengatakan pihak pembelaan telah diberikan masa empat bulan untuk bersedia sebelum pendengaran rayuan akhir itu, Hakim Abdul Rahman menyatakan, tempoh itu diberikan kepada pasukan pembelaan yang terdahulu.
“Tempoh empat bulan itu diberikan kepada Tetuan Muhammad Shafee & Co yang mana ketika itu peguam utama ialah Muhammad Shafee dan bukannya kepada Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Companions (ZIST) yang mana peguam bela utamanya ialah Hisyam,”ujarnya.
Selain itu, Hakim Abdul Rahman menyatakan, adalah tidak adil bagi Najib untuk ‘membayar’ harga yang tinggi atas kesilapan yang dilakukan oleh peguamnya.
“Apa yang penting buat pemohon ialah untuk melihat peguam yang mewakilinya bertindak sehabis baik, tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.
“Dalam keadaan ini, pemohon berada dalam keadaan yang sangat tidak bernasib baik kerana tidak diwakili ketika prosiding rayuan akhir. Justeru, sabitan terhadap pemohon hendaklah dibatalkan kerana tiada representasi,” kata Hakim Abdul Rahman. – UTUSAN
[ad_2]
Source link