[ad_1]
SEREMBAN: Petronas menerusi cabang tanggungjawab sosial korporatnya, Yayasan Petronas telah menyumbang peralatan perubatan penjagaan di rumah kepada 137 orang penerima manfaat dalam kalangan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40), orang kurang upaya dan warga emas di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Ia merupakan sebahagian daripada Program Memacu Kehidupan: Dwelling Ward 2023 yang bertujuan memberikan suasana persekitaran rumah lebih kondusif dengan penyediaan peralatan perubatan asas bagi membantu dan menggalakkan penglibatan ahli keluarga dalam memberi penjagaan dan perlindungan diperlukan.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, M Zaki Mahat berkata, sebanyak 57 katil boleh laras, 14 penumpu oksigen dan 66 kerusi roda telah diedarkan secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri masing-masing.
“Saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak JKM yang telah banyak memberi kerjasama dan membantu kami dalam menjayakan program ini dari tahun lalu.
“Tidak lupa juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Program Memacu Kehidupan: Dwelling Ward 2023 untuk Wilayah Selatan ini.
“Sumbangan anda semua dalam membantu keluarga-keluarga yang memerlukan telah melakarkan senyuman pada wajah mereka atas setiap peralatan yang telah mereka terima,” katanya.
Simbolik penyerahan peralatan itu telah dilaksanakan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah di sini yang turut dihadiri oleh Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik serta Pengetua Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Hanuna Salleh.
Hanuna dalam pada itu berkata, sumbangan yang diberikan pihak Petronas itu pastinya dimanfaatkan khususnya anak-anak kurang upaya di Taman Sinar Harapan.
“Alatan yang diterima seperti penumpu oksigen juga dapat membantu mengawal simptom-simptom awal mereka sebelum dibawa ke hospital. Semoga hubungan yang terjalin ini kekal berpanjangan,” katanya.
Sementara itu, setakat ini melalui program Memacu Kehidupan: Dwelling Ward 2023, sebanyak 609 katil boleh laras, 44 penumpu oksigen dan 312 kerusi roda telah diedarkan kepada keluarga kurang bernasib baik dan rumah-rumah kebajikan di seluruh negara.-UTUSAN.
[ad_2]
Source link