[ad_1]
MELAKA – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu ditemui ahli keluarganya dalam keadaan tidak bernyawa di dalam longkang di Jalan Gapam di sini, hari ini.
Mayat Tan Kue Seng, 71, ditemui anaknya, Tan Bee Yong, 42, kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Menurut anaknya, kali terakhir keluarga berjumpa mangsa adalah pada Ahad lalu sebelum warga emas itu keluar dari rumah di Taman Ozana Impian untuk bersarapan di kedai kopi di Bemban, Jasin kira-kira pukul 7 pagi.
Mangsa dikatakan keluar dengan menunggang motosikal jenis Demak EX90.
“Ayah bagaimanapun tidak pulang ke rumah sehingga petang dan telefonnya tidak dapat dihubungi, rakannya ada beritahu ada melihat ayah melalui gerai buah pada pukul 12 tengah hari.
“Satu laporan polis telah dibuat dan kami cuba mencarinya di sekitar laluan balik ke rumah tetapi tidak menjumpainya sehinggalah pagi tadi apabila ternampak motosikal ayah di dalam longkang,”katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Melaka.
Sebelum ini kehilangan Kue Seng turut tular di media sosial selepas ahli keluarganya memohon bantuan orang ramai untuk mencari mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat mangsa telahpun dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
“Kes ini kita telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri untuk melakukan siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link