[ad_1]
SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan projek perumahan dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM1 bilion tahun ini.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Suhaimi Kasdon, projek perumahan tersebut melibatkan beberapa projek hartanah di Antara Gapi, Kota Puteri, PKNS Sq. dan Selangor Cyber Valley.
Katanya, selaras itu pihaknya melancarkan Program Discovery PKNS bagi sasaran nilai jualan projek melibatkan pangsapuri, bangunan komersial dan lain-lain sebanyak RM600 juta.
“Tahun lepas kita mengadakan program Discovery PKNS di dua lokasi dengan sasaran RM400 juta. Bagaimanapun, jumlah sasaran itu meningkat menerusi program di lima lokasi,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Uncover PKNS, hari ini.
Suhaimi menjelaskan, program Discovery PKNS adalah platform untuk mendekati komuniti di pusat perbandaran PKNS menerusi pelbagai aktiviti berbentuk karnival dan hiburan selain mempromosikan produk-produk syarikat hartanah tersebut.
Katanya, siri Jelajah Discovery PKNS merupakan siri jelajah ke pusat-pusat perbandaran bermula di Kota Puteri pada 6 dan 7 Mei yang mana projek kediaman Puteri Ariana akan dilancarkan.
“Lokasi kedua di Antara Gapi pada 24 dan 25 Jun, lokasi ketiga di Selangor Cyber Valley pada 29 dan 30 Julai ini. Ia juga akan diadakan di Kompleks PKNS Shah Alam pada 12 dan 13 Ogos dan berakhir di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 28 dan 29 Oktober depan,” katanya. – KOSMO!ONLINE
[ad_2]
Source link