[ad_1]
JERANTUT: Gabungan Badan Masjid Felda Wilayah Jengka di sini akan menanggung bekalan susu formulation khas selama setahun kepada kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU), Ainul Mardhiah Nurul Ridzuan, 6, dari Felda Kota Gelanggi 2, di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengerusinya, Razak Daud berkata, kanak-kanak itu memerlukan susu khas sebagai rangsangan bagi memulihkan kerosakan saraf dialaminya akibat kemalangan jalan raya, dua tahun lalu.
Menurutnya, Ainul Mardhiah dikategorikan OKU kerana mengalami gangguan saraf, kelemahan pergerakan dan juga kecacatan bahagian matanya.
“Ainul Mardhiah anak kedua dari empat beradik pasangan Nurul Ridzuan Ab. Rahman, 35, dan Nur Ashikin Omar, 36, memerlukan perhatian dan sokongan masyarakat berikutan keluarganya tidak mampu.
“Bapa kanak-kanak itu, Nurul Ridzuan pula ditahan pihak berkuasa sebulan lalu akibat kesalahan dadah manakala ibunya, Nur Ashikin tidak bekerja,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan penderitaan dan dilema ibu kepada empat orang anak hilang punca pendapatan berikutan ketua keluarga terbabit ditahan pihak berkuasa akibat kesalahan dadah.
Nur Ashikin berserta empat anak berusia setahun hingga 10 tahun tinggal di sebuah rumah yang belum siap dalam kawasan ladang sawit berdekatan jalan raya Felda Kota Gelanggi Dua di sini.
Mengulas lanjut, Razak yang juga Pengerusi Biro Sosial dan Kemasyarakatan Gabungan Wilayah Jengka berkata, bantuan sosial seperti ini menjadi agenda utama Gabungan Badan Masjid Felda Wilayah Jengka.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Wilayah Jengka, Zariah Harun berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan keluarga itu supaya mendapat bantuan berterusan.
Menurutnya, GPW Wilayah Jengka turut terpanggil memberikan sumbangan tilam, kuih raya dan wang tunai kepada Nur Ashiukin dan anak-anaknya yang baru sebulan menetap di Felda Kota Gelanggi dari Kedah.
Sementara itu, Nur Ashikin bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana mendapat bantuan berupa barangan dapur dan wang tunai daripada Badan Gabungan Masjid Wilayah Jengka, UMNO Bahagian Jerantut dan GPW Wilayah Jengka.
“Saya menghargai sumbangan orang ramai kerana saya tiada pendapatan setelah suami sebagai tunggak keluarga ditahan pihak berkuasa akibat terlibat dengan dadah,” katanya.
Katanya, dia juga perlu menyediakan perbelanjaan bulanan RM1,300 untuk membeli barang dapur, susu dan lampin pakai buang bagi digunakan anak-anaknya yang berusia setahun dan dua tahun termasuk rawatan anak OKU yang kini semakin merosot kesihatannya.
Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah boleh menghubungi Nur Ashikin menerusi talian 0132034639 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank bernombor 152116524825. –UTUSAN
[ad_2]
Source link