[ad_1]
PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) kenal pasti beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan untuk dijadikan sebagai hutan simpan kekal (HSK).
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perbincangan berhubung perkara itu telah dilakukan pada Januari lalu bersama Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan dan ia melibatkan kawasan di Kuala Lumpur dan Labuan.
Katanya, Bukit Dinding dan Bukit TM Wangsa Maju adalah antara kawasan bakal dijadikan HSK selain pada masa sama kawasan lain mempunyai potensi akan dipantau.
“Kuala Lumpur cabaran besar kerana ia merupakan pusat pembangunan, kita akan cuba lihat beberapa lokasi seperti Bukit Dinding dan Bukit TM Wangsa Maju dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran maskot RoboST di Resort Le Meridien di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar mencadangkan hutan di beberapa bukit sekitar Kuala Lumpur diwartakan sebagai kawasan hijau oleh DBKL.
Antara yang dicadangkan NGO berkenaan adalah Bukit Dinding, Bukit TM Wangsa Maju, Bukit Kiara dan Bukit Pudu Ulu.
Ujarnya, bagi merealisasikan hasrat itu pelbagai kajian perlu dilakukan sebelum sesebuah kawasan itu diwartakan sebagai HSK di masa akan datang.
“Kita berusaha mengkaji bagi meningkatkan lagi saiz hsk, mana yang ada kita akan kekalkan manakala yang seterusnya ini kita akan tambah,” jelasnya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata pada majlis berkenaan Suruhanjaya Tenaga (ST) turut memperkenal label ST-SIRIM susulan daripada pemeriksaan dan penguatkuasaan di pasaran yang mendapati aktiviti penyalahgunaan label oleh individu yang tidak bertanggungjawab semakin meningkat.
“Kepentingan ST-SIRIM yang baharu bagi memudahkan pengguna menyemak ciri keselamatan kelengkapan elektrik rumah melalui kod QR. Orang ramai dinasihatkan untuk pastikan label ST-SIRIM pada kelengkapan elektrik sebelum membuat pembelian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link