[ad_1]
LANGKAWI: Kanak-kanak lelaki enam tahun yang berupaya memandu kereta di pulau pelancongan ini mendakwa dia belajar mengendalikan kenderaan itu melalui video yang ditonton di YouTube.
Malah, hasil siasatan juga mendapati dia turut mengamati cara pemanduan bapanya setiap kali mereka menaiki kereta.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan pihaknya mendapati tidak terdapat simulator membawa kenderaan di rumahnya seperti yang didakwa orang ramai.
“Gambar yang ditularkan tersebut bukan gambar kanak-kanak yang memandu kereta Toyota Vios sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam Selasa lalu, kereta dipandu kanak-kanak itu terbabas di bahu jalan ketika dalam perjalanan bersama adik lelakinya berumur tiga tahun untuk ke kedai.
Kejadian disedari orang awam sebelum video memaparkan kenderaan berwarna putih itu terbabas tular di media sosial setelah ia dipandu sejauh 2.5 Kilometer (KM) dari rumah mereka.
Sebelum ini, polis mengesahkan kanak-kanak terbabit memang mahir mengendalikan kenderaan dan mengetahui fungsi pedal minyak dan gear kenderaan dipandunya.
Kanak-kanak tersebut juga menunjukkan cara menghidupkan enjin dan dapat menghidupkan enjin apabila diminta serta tahu bagaimana hendak menurunkan brek tangan.
Dalam perkembangan berkaitan, lima saksi juga telah dipanggil bagi memberi keterangan kepada pihak polis untuk membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.
Jelas Shariman, individu yang dipanggil adalah tiga orang saksi di tempat kejadian, datuk kepada kanak-kanak tersebut dan seorang lagi anggota polis yang tiba di situ sejurus mendapat panggilan daripada orang awam.
Menurutnya, kertas siasatan kes tersebut juga hampir siap dan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri di Alor Setar sebaik sahaja pihak polis menerima laporan perubatan daripada hospital.
“Kanak-kanak tersebut juga akan dirujuk kepada Pusat Temuduga Kanak-Kanak (Baby Interview Centre – CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi mendapatkan keterangan menyeluruh,” ujarnya. –UTUSAN
[ad_2]
Source link