[ad_1]
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak ada lagi sebarang percubaan untuk sabotaj kerajaan sedia ada sekurang-kurangnya dalam tempoh beberapa tahun sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Perdana Menteri berkata, Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang diadakan semalam menetapkan satu bentuk kerajaan kukuh melalui komitmen daripada parti-parti utama yang membentuk Kerajaan Perpaduan membabitkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Warisan.
Beliau berkata, walaupun pada peringkat awal ada percubaan melalui akuan bersumpah (SD) yang disampaikan kepada peringkat Yang di-Pertuan Agong, tetapi dalam tempoh beberapa bulan lalu, kesepakatan antara parti nampak lebih kemas.
“Dalam percubaan ini tidak ada salah dalam politik dan demokrasi, siapa pun boleh rebut kuasa ikut jalur yang sah. Tetapi dalam beberapa minggu atau lebih sebulan lalu, baik BN, PH, GRS, GPS, Warisan terutama yang besar bagi komitmen yang sangat jelas.
“Semalam kita adakan perhimpunan (Kerajaan Perpaduan) dengan pengukuhan itu jelas sekurang-kurangnya untuk bertahun-tahun akan datang tidak ada lagi layanan terhadap sebarang percubaan untuk sabotaj kerajaan sedia ada,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Anwar berkata, sumbangan penjawat awam dalam melaksanakan beberapa tindakan dan program dalam tempoh ini telah meyakinkan bahawa negara mungkin mantap kalau kerajaan itu stabil dan ada jangka panjang sehingga PRU akan datang.
Jelasnya, perkara itu diperkukuhkan lagi dengan unjuran pertumbuhan ekonomi yang merekodkan lebih baik pada suku pertama tahun ini berbanding pada akhir tahun lalu.
Ini termasuk statistik kadar inflasi kurang, jumlah pengangguran menurun, namun pelaburan bertambah.
“Pelaksanaan pelaburan itu penting, apabila pelaburan itu sampai ke negeri seperti Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak, maka pihak Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) harus bekerja sederap supaya tahap kelulusan itu dapat dipercepatkan.
“Ini memastikan negara dapat mempertahankan kadar pertumbuhan lebih meyakinkan dengan komitmen dan kesungguhan kita,” katanya. – UTUSAN
[ad_2]
Source link