[ad_1]
SHAH ALAM: Menuntut ilmu di rantau asing dan kembali ke kampung untuk berbakti, adalah hasrat murni penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Dr. Danielle Valerinna Anak Charles, 25, yang berasal dari Kuching, Sarawak.
Menurut graduan dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) itu, beliau teruja apabila memperoleh anugerah tersebut dan menganggapnya sebagai penat jerih yang berbaloi menamatkan pengajian selama enam tahun
“Saya bercita-cita menjadi doktor selepas melihat sendiri orang kampung di tempat saya meninggal dunia kerana hospital jauh dari kawasan kampung. Sebagai anak dari keturunan Iban dan Bidayuh saya merasakan inilah masa yang terbaik untuk saya berbakti kepada masyarakat saya.
“Mungkin berkhidmat semasa ‘houseman’ selama dua tahun di sana sebelum Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar saya untuk bertugas di tempat baharu,” katanya ditemui selepas Majlis Konvokesyen MSU Ke-31, hari ini.
Dr. Danielle Valerinna merupakan antara 1,532 graduan dari 102 program pengajian menerima skrol masing-masing pada majlis konvokesyen tersebut yang berlangsung selama dua hari, sehingga esok.
Anak kepada pasangan guru, Fostina Peter,45, dan Charles Edward,46, itu memberitahu, MSU bukan sekadar mendidik mereka dengan ilmu akademik tetapi melengkapkan diri mereka dengan ilmu kemahiran sampingan dalam dunia kerjaya.
“Kita sebagai pelajar perubatan bukan sahaja belajar membedah mayat dan mengubati pesakit di MSU. Malahan kita diajar untuk menjadi seorang insan yang mempunyai pelbagai ilmu sebagai pengurus yang berkaliber dan doktor yang bertauliah,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sepanjang pengajian, beliau tidak terlalu menumpukan perhatian kepada pembelajaran semata-mata, sebaliknya gemar berniaga dan berkemahiran sebagai pereka grafik menghasilkan poster, banner, bunting, tirai latar dan sebagainya. -UTUSAN
[ad_2]
Source link