[ad_1]
TUMPAT – Seorang wanita maut, dua lagi hilang selepas bot yang dinaiki mereka tiba-tiba rosak menyebabkan mereka terpelanting ke dalam Sungai Kelantan petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, Norawaddah Sulong, 30, ditemui meninggal dunia manakala suaminya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30 dan anak saudara, Amrullah Fitri Afendi, 10, masih hilang.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, dalam kejadian itu, hanya anak Wan Muhamad Najmi dan Norawaddah iaitu Wan Noramina yang berusia 14 bulan berjaya diselamatkan oleh saudara mereka.
Menurutnya, siasatan mendapati, tiga beranak itu bersama Amrullah Fitri yang berasal dari Kampung Pasir Pekan Hulu menaiki sebuah bot untuk bersiar-siar di sekitar Sungai Kelantan.
“Selepas bergerak sejauh 60 meter, enjin bot tersebut tiba-tiba mati sebelum keempat-empat mangsa terpelanting dan jatuh ke dalam sungai.
“Norawaddah dan bayinya sempat diselamatkan oleh saudara mereka yang berada di lokasi kejadian, namun wanita tersebut disahkan meninggal dunia apabila dibawa naik ke darat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian sebentar tadi.
Amran memberitahu, setakat ini, Wan Muhamad Najmi dan Amrullah Fitri masih belum ditemui.
Katanya, mayat Norawaddah dihantar ke Hospital Tumpat di sini untuk dibedah siasat manakala bayi terbabit turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang masih hilang diteruskan pagi esok berikutan keadaan cuaca gelap,” katanya.
Sementara itu, sepupu Wan Najmi, Wan Hasni Wan Mohamad Rani, 50, berkata, dia bersyukur apabila anak saudaranya yang berusia 14 bulan selamat, namun tetap bersedih apabila ibunya maut manakala bapa masih hilang.
Katanya, dia menerima maklumat berhubung kejadian itu, kira-kira pukul 6.50 petang tadi sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob turut melawat lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link