[ad_1]
PASIR SALAK: Bekas Ketua UMNO Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa berlaku cubaan untuk mensabotaj terhadap rayuan penggantungnya sebagai ahli parti itu.
Beliau mendakwa, tindakan itu dikesan apabila usul itu dibawa Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak dalam mesyuarat tiga minggu lalu yang antara lain mendesak pucuk pimpinan agar tidak melayan sebarang rayuan yang dibuat beliau.
Menurutnya, difahamkan usul berkenaan mendapat sokongan majoriti besar ahli jawatankuasa, hanya sebilangan kecil tidak bersetuju.
“Ini bermakna mereka tak setuju saya kembali kepada UMNO, sebab kononnya saya ini masih lagi menentang Presiden UMNO, menimbulkan masalah kepada parti hingga menyebabkan kekalahan calon-calon dalam pilihan raya lalu,” katanya kepada pemberita pada Himpunan Melayu Bangkit 2.0 di pekarangan kediamannya di Jalan Tanjung Tualang, Kampung Gajah di sini semalam.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu percaya, usaha itu dibuat kerana terdapat ura-ura rayuan terhadap penggantungannya selama enam tahun mungkin diterima pucuk pimpinan, kerana jarang berlaku seorang ahli itu digantung dalam tempoh lama hingga habis penggal.
“Kemungkinan rayuan saya (tarik semula penggantungan keahlian) berjaya, sebab itu mereka cepat-cepat buat usul supaya saya terus dibuang dari UMNO.
“Ini satu usaha yang teruk dan tak ‘gentleman’ langsung,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun enggan memberi ulasan lanjut terhadap dakwaan Tajuddin.
“Tiada komen,” katanya menerusi pesanan ringkas di WhatsApp.
Mengenai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pasir Salak Bangkit yang dilancarkan semalam, Tajuddin berkata, pertubuhan itu akan bergerak aktif memperjuangkan nasib orang Melayu.
Tajuddin berkata, NGO itu bukan untuk kepentingan peribadi sambil memberi jaminan perjuangannya didasari semangat untuk melihat kuasa Melayu kembali dalam politik, ekonomi dan pendidikan.
“Kita sebagai NGO yang bukan sembarangan, ini NGO yang nak membela nasib rakyat terutama orang Melayu yang masih ketinggalan.
“Jadi bukannya nak syok sendiri, kita tak mahu NGO ini sebagai tempat untuk memuaskan emosi ataupun nafsu peribadi yang hanya gilakan publisiti dan jawatan,” katanya. – UTUSAN
[ad_2]
Source link