[ad_1]
PUTRAJAYA: Orang ramai di negara ini tidak perlu bimbang berlebihan dalam kenghadapi risiko penyakit X walaupun mereka penting mendapatkan maklumat berkaitan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tahap kebimbangan orang awam itu boleh dikurangkan dengan sentiasa mengikuti garis panduan kesihatan, amalan kesihatan baik dan sering mendapatkan maklumat terbaharu tentang perkembangan penyakit tersebut.
“Individu boleh bersedia untuk menghadapi penyakit berkenaan dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam, mengawal berat badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok.
“Mereka juga dicadangkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat dan mengikuti garis panduan kesihatan yang terbaharu,” katanya di sini hari ini.
Penyakit X adalah nama yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk sejenis patogen yang tidak diketahui dengan potensi untuk menyebabkan wabak di seluruh dunia.
Mengulas mengenai sama ada negara bersedia untuk menghadapi kemungkinan wabak penyakit itu, Muhammad Radzi berkata, Malaysia tetap berwaspada terhadap kemungkinan timbulnya penyakit X.
“Kami berkeyakinan boleh menanganinya dengan berkesan berdasarkan pengalaman dengan wabak penyakit sebelum ini termasuk Covid-19, virus nipah, SARS dan MERS-CoV.
“Sistem kesihatan Malaysia juga sentiasa diperkukuhkan untuk tujuan ini. Selain itu, maklumat mengenai wabak penyakit sentiasa disampaikan secara terbuka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak media turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat kepada orang awam mengenai penyakit X.
“Orang awam diingatkan untuk mendapatkan maklumat dari sumber boleh dipercayai. Walaupun kebimbangan mengenai penyakit X adalah wajar, pelaporan yang bertanggungjawab dan komunikasi jelas daripada pihak berkuasa dapat membantu mengurangkan panik.
“Ini dengan memberikan panduan yang tepat kepada orang awam,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bersedia berdepan apa saja kemungkinan pandemik yang akan berlaku pada masa depan termasuk ancaman penyakit X.
Katanya, kementerian sentiasa membuat pemantauan bagi mengesan sebarang penyakit baharu yang muncul, selain WHO yang turut memberikan amaran. – UTUSAN
[ad_2]
Source link