[ad_1]
MELAKA: Selepas hampir tiga jam hilang akibat lemas di Pantai Mutiara berhampiran Kem Terendak, Sungai Udang di sini, mayat seorang remaja lelaki ditemukan pasukan penyelamat di lokasi kejadian kira-kira pukul 9.25 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kejadian, mangsa, Faris Darwisy Mohd. Faizal, 16, tiba di pantai itu pada pukul 4.30 petang hari ini bersama 13 rakan sekolahnya untuk meraikan hari terakhir dua guru pelatih yang mengajar di sekolah mereka.
Beliau berkata, mangsa bersama seorang lagi rakannya telah mandi di pantai sebelum rakannya itu lemas dan cuba diselamatkan oleh mangsa.
“Mangsa pergi ke pantai dengan kawan-kawannya seramai 14 orang untuk meraikan guru pelatih yang hari terakhir mengajar di sekolah mereka.
“Kemudian mangsa dan seorang lagi rakannya mandi di pantai, rakannya telah lemas dan si mati cuba untuk menyelamatkan tetapi dia yang tenggelam. Mereka adalah pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Christopher, tubuh mangsa ditemukan pasukan skuba Rejimen Gerak Khas (Komando) Tentera Darat dalam kedudukan jarak lebih kurang 50 meter dari pantai dan tempat terakhir pelajar itu mandi.
Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas dan jenazah dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – UTUSAN
[ad_2]
Source link