[ad_1]
SEHARUSNYA dalam kehidupan ini tidak perlu ada rasa hasad dengki atau cemburu dengan kebahagiaan dan kesenangan hidup orang lain.
Apatah lagi jika orang itu merupakan saudara-mara atau adik-beradik yang hidup jauh lebih senang atas usaha mereka sendiri.
Bagaimanapun, berbeza dengan Rohaya (bukan nama sebenar) apabila dia sebelum ini pernah diselubungi rasa iri hati dengan kehidupan bahagia ibu saudaranya sekeluarga yang hidup mewah.
Menurut wanita asal Bera, Pahang itu, perasaan tersebut pernah wujud dalam dirinya kerana dia membesar dalam keluarga peneroka Felda yang hidup serba kekurangan.
“Ibu saudara saya pula berkahwin dengan seorang pegawai Felda dan dia tinggal tidak jauh dari kediaman saya sekeluarga.
“Mereka menetap di sebuah rumah banglo yang dibina atas tanah pusaka.
“Ibu saudara saya dan anak-anaknya iaitu sepupu saya hidup mewah, saya sentiasa membandingkan kehidupan kami sehingga mencetuskan rasa cemburu dalam diri saya,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.
Tambahnya, rasa cemburu itu bercambah menjadi iri hati dan dengki apabila dia sendiri kerap mendengar ibunya sering memburukkan ibu saudaranya yang merupakan adik kepada bapa Rohaya itu.
Kongsi Rohaya, ibunya sering mengatakan bahawa adik iparnya itu menggunakan ilmu hitam dan mengenakan ilmu pengasih untuk berkahwin dengan suaminya.
“Ibu juga sering menjaja cerita orang kampung bahawa ibu saudara saya itu sombong dan tidak pernah membantu keluarga dalam kesusahan.
“Kebencian ibu itu turut mempengaruhi pandangan saya terhadap ibu saudara yang membuatkan saya tidak suka dan turut serta memburukkan dirinya,” ujarnya.
Ceritanya lagi, kebencian itu turut menutup matanya daripada melihat kebaikan ibu saudara yang sebenarnya selama ini selalu membantu keluarga Rohaya.
Hasad dengki yang terbuku dalam hati Rohaya turut mengundang kepada tindakan dia dan ibunya yang cuba untuk memisahkan ibu saudara dengan suaminya.
“Awalnya kami menyampaikan cerita tentang ilmu pengasih, tidak cukup dengan itu buat pula gosip liar mengatakan bahawa mak cik (ibu saudara) ada hubungan sulit dengan orang lain.
Cerita itu membuatkan mak cik bergaduh dengan suaminya, namun tidak lama mereka berbaik semula dan tidak menghiraukan gosip tersebut,” kongsinya.
Tidak sekadar itu, Rohaya dan ibu juga pernah melaga-lagakan ibu saudaranya dengan nenek dan ipar yang lain.
Hal itu pernah membuatkan ramai saudara menjauhkan diri daripada ibu saudaranya dan kurang bergaul dengan mereka sekeluarga setiap kali berkumpul di rumah nenek.
Meskipun bersikap ‘talam dua muka’ dengan ibu saudaranya, Rohaya berkongsi pada ketika itu sebolehnya dia mahu ibu saudara dan sepupunya hidup miskin sepertinya.
“Saya tidak tahu apa yang saya fikirkan, setiap kali melihat mereka (keluarga ibu saudara) pergi beli-belah, bercuti mahupun sekadar berkongsi momen indah di media sosial, saya rasa dengki.
“Ibu pula sama, namun ayah sebaliknya tidak ambil peduli walaupun sekali sekala dia ada menasihatkan supaya jangan terlalu bandingkan hidup dengan orang lain,” ceritanya ibu kepada seorang cahaya mata itu,” kongsinya.
Tidak mengendahkan kata-kata bapanya, perasaan cemburu dan dengki itu akhirnya membuatkan Rohaya dan ibu diberikan pengajaran hidup oleh Tuhan yang tidak akan dilupakan oleh mereka.
Kata Rohaya, hal itu berlaku apabila dia dan ibunya kemalangan jalan raya semasa memandu pulang daripada kenduri.
Ketika itu, bapanya tidak ada dan dia bersama ibu terbabas di dalam parit di sebuah jalan sunyi dekat kampung.
“Jalan itu memang jarang orang lalu lalang, kami tersadai dalam kecederaan di situ lama tetapi tiba-tiba ada satu kereta lalu dan kelihatan itu kereta mak cik saya.
“Mak cik yang melihat kami terus memberhentikan kereta, saya dapat lihat dia sangat cemas dan serta-merta membantu dan membawa kami mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Sepanjang masa melihat ibu saudaranya menguruskan mereka yang ketika itu cedera akibat kemalangan, Rohaya merasa bersalah atas sikapnya terhadap ibu saudara.
Rohaya melihat bagaimana keikhlasan ibu saudaranya membantu meskipun dia mengetahui, sering diburukkan mereka berdua.
Selepas kejadian itu, Rohaya dan ibu memohon maaf atas sikap mereka selama ini dan ibu saudara mereka tanpa sekelumit dendam memaafkan mereka berdua.
[ad_2]
Source link