[ad_1]
GERIK: Seorang anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik cedera di bahu kanan selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan kapak dalam kejadian di kawasan kebun sawit di Felda Bersia di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, insiden berlaku ketika anggota berpangkat Koperal itu bersama seorang Lans Koperal sedang menjalankan Operasi Tapis di lokasi kejadian.
Katanya, sekitar pukul 12 tengah hari, dua anggota terbabit telah terserempak suspek berusia 31 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.
“Suspek telah memberhentikan motosikalnya lalu turun dengan membawa sebilah kapak dan parang. Suspek kemudiannya membuang parang ke tanah dan berlari ke arah anggota terbabit bersama kapak di tangan kanan.
“Anggota itu cuba menangkap suspek namun lelaki tersebut bertindak agresif dengan melibas kapak ke arahnya hingga cedera pada bahu kanan dan bengkak di kepala,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam situasi itu, anggota terbabit terpaksa melepaskan tembakan pada kaki suspek bagi tujuan mempertahankan diri.
Katanya, semasa melakukan tangkapan, suspek enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri hingga berlaku pergelutan.
“Pemeriksaan dilakukan ke atas suspek menjumpai satu peket lutsinar berisi cebisan tumbuhan kering disyaki ganja dan dua keratan straw berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine di dalam poket seluar hadapan sebelah kiri.
“Suspek telah dibawa ke Klinik Kesihatan Bersia sebelum dirujuk ke Hospital Gerik seterusnya ke Hospital Taiping untuk rawatan susulan.
“Anggota polis yang cedera turut menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bersia,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN
[ad_2]
Source link