[ad_1]
SHAH ALAM: Wilayah Gaza dikatakan masih belum selamat dan penduduk masih berdepan ancaman pengeboman oleh rejim Zionis selepas hampir seminggu serangan dilakukan ke atas Palestin.
Malah, sehingga kini lebih 4,000 penduduk terkorban dilaporkan sementara lebih 12,000 masih belum ditemui apabila sebahagiannya diyakini terperangkap dibawah runtuhan bangunan.
Menurut wakil Jihad Islami dari Palestin, Sheikh Khaled Ghawannah berkata, pengeboman yang dilakukan oleh Israel baru-baru ini memusnahkan masjid-masjid, bangunan hospital dan pelbagai tempat yang dapat dilihat di Gaza pada hari ini.
“Apa lagi yang ditunggu oleh dunia ataupun alam ini untuk menyaksikan keganasan yang begitu dahsyat pada waktu ini.
“Baru-baru ini dalam satu hari pengeboman dibuat pada satu hospital di Gaza yang mengorbankan lebih daripada 1,000 nyawa, tidak pernah berlaku dalam sejarah dan kita melihat, dunia menyaksikan kekejaman ini,” katanya dalam ucapannya pada Ceramah Mega sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-69, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia memetik agensi melaporkan Menteri Kesihatan Palestin, Mai Alkaila merayu masyarakat antarabangsa dan semua pertubuhan hak asasi manusia untuk campur tangan dan melindungi Hospital Al Quds di Gaza daripada ancaman serangan Israel.
Ini kerana, Persatuan Bulan Sabit Merah yang mengendalikan Hospital Al Quds diberi notis agar mengosongkan hospital itu yang ketika ini menampung lebih 400 pesakit dan kira-kira 12,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Dalam pada itu, Syeikh Khaled memaklumkan rakyat Palestin kini hanya mempunyai dua pilihan untuk meneruskan hidup di bumi bergolak itu iaitu sama ada untuk berpeluk tubuh atau berjuang membebaskan Palestin.
Rakyat Palestin nekad dan membuat satu keputusan bahawa mereka bagaimanapun keadaannya akan tidak berganja dan terus berada atas jalan ini sehingga Allah berikan kemenangan yang mana diharapkan itu suatu pembebasan kepada bumi berkat, bumi Palestin.
“Itu adalah pendirian kami, demikian itu adalah nekad kami bagaimana pula dengan umat Islam yang lain? Adakah sanggup bersedia untuk meninggalkan kami sendirian berperang dengan Israel? Maka jawablah pada diri sendiri.
“Kalau itulah jawapan tadi, tidak akan meninggalkan rakyat Palestin, maka persembahkanlah apa yang mampu kepada pembebasan Palestin wang ringgit, nyawa, harta dan apa sahaja yang dimiliki ke arah pembebasan Palestin, Baitulmuqaddis dan Masjid al-Aqsa dapat dibebaskan daripada cengkaman Zionis,” rayunya. – UTUSAN
[ad_2]
Source link