[ad_1]
KUALA LUMPUR: Terengganu FC menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur Metropolis (KL Metropolis) FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kemenangan itu, sekali gus menyaksikan Terengganu membawa bekalan tipis ke Kuala Terengganu untuk pertembungan timbal balik pada 3 November ini.
Perlawanan itu berlangsung seimbang dan Terengganu terpaksa menunggu sehingga masa kecederaan babak pertama untuk berada di hadapan menerusi jaringan Ivan Mamut.
Bersambung babak kedua, KL Metropolis yang turun tanpa kapten mereka, Paulo Josue cuba bangkit dengan melakukan beberapa gerakan namun tidak berjaya untuk memecahkan kebuntuan jaringan.
Beberapa peluang terhidang gagal disudahkan dengan baik dan perlawanan bertambah rancak pada babak akhir dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan.
Terengganu mendapat peluang terbaik untuk menggandakan kelebihan pada minit ke-82, namun sepakan kurang kemas Syahmi Zamri di depan gawang berjaya diselamatkan penjaga gol KL Metropolis, Kevin Ray Mendoza.
Pada minit ke-89, Terengganu berjaya menggandakan kedudukan menerusi Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim apabila dia menyudahkan umpanan Syahmi.
Skuad Metropolis Boys berjaya merapatkan kedudukan selepas Tchetche Kipre menyudahkan sepakan penalti pada masa kecederaan, sekali gus memastikan Terengganu tidak membawa pulang bekalan lebih selesa.- UTUSAN
[ad_2]
Source link