[ad_1]
GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang melaksanakan pelan intervensi bekalan ayam susulan subsidi dan kawalan harga barangan keperluan asas itu ditamatkan sepenuhnya bermula semalam.
Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama erat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memainkan peranan penting dalam meluaskan akses bagi perbekalan ayam.
“Ia dijalankan menerusi melalui 31 Outlet Agrobazaar FAMA serta 16 Outlet Runcit NAFAS, Program Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh daerah dalam negeri ini.
“Langkah ini juga memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan bermula Rabu ini, namun bantuan masih disalurkan bagi telur gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada. -KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link