[ad_1]
PETALING JAYA: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak saudara lelakinya yang berusia setahun enam bulan, dua minggu lalu.
M. Kesigan, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Azura Mohd. Saad.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh kanak-kanak, T. Hudesh di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Taman Putra Damai, Lembah Subang, di sini, pada pukul 11.15 malam, 24 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 3 April ini untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat.
Pada 26 Januari lalu, media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera. Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri di kediaman terbabit sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam oleh bapa saudaranya berusia 20-an.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika rawatan dan hasil pemeriksaan serta bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan lain. Difahamkan, kanak-kanak terbabit dihantar ke rumah suspek setiap kali ibu bapanya keluar bekerja.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, hasil bedah siasat mendapati, mangsa mengalami lebam dan kecederaan di beberapa organ dalaman. – UTUSAN
[ad_2]
Source link