[ad_1]
PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat daripada jangkitan yang dialami sejak Januari lalu.
Bagaimanapun, Mahathir berkata, keadaan kesihatannya semakin pulih berkat doa yang diberikan serta usaha gigih para doktor, jururawat, serta kakitangan di IJN.
“Saya harap dalam masa terdekat dapatlah saya pulih semula seperti biasa dan dibenar pulang ke rumah.
“Setakat ini, adakala saya dibenarkan pulang sekejap oleh pakar di sini, tapi tetap perlu bermalam di IJN,” katanya menerusi hantaran di Fb sebentar tadi.
Dalam pada itu, Mahathir dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada semua umat Islam.
“Alhamdulillah dapat kita bertemu dan diberi peluang melakukan ibadah dan amalan sempena bulan yang amat istimewa bagi umat Islam.
“Saya ingin ambil peluang ini untuk ucap terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan saya serta Hasmah, dan kesejahteraan kami berdua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link