[ad_1]
PUTRAJAYA: Sejumlah 33,983 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan automatik sebagai pemilih baharu dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari Tahun 2024 (DPT BLN2/2024) dalam tempoh 1 hingga 29 Februari lalu.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan, ia turut mengandungi seramai 6,742 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,442 orang pemilih bertukar standing atau kategori pengundi.
Katanya, DPT BLN2/2024 yang diperaku dan diwartakan pada hari ini dibuka untuk semakan selama 30 hari sehingga 20 April depan.
“SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN2/2024 seperti Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my selain portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
“(Semakan turut boleh dibuat menerusi) aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPR pada masa sama menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh berkenaan dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran standing untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN2/2024.
Jelas beliau, sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN2/2024, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D menerusi kaedah sama.
“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan.
“Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN2/2024 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya. – UTUSAN
[ad_2]
Source link