[ad_1]
JOHOR BAHRU – Kira-kira 25 peratus pengguna jalan raya di seluruh Malaysia dikesan melakukan pelbagai kesalahan yang melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan demi keselamatan mereka.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, statistik itu dapat dilihat menerusi Operasi Khas Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 (HRA 2024) yang dilakukan bermula semalam.
Menurut beliau, sebanyak 7,473 notis kesalahan dikeluarkan daripada keseluruhan 29,760 kenderaan yang diperiksa sepanjang operasi yang dijalankan di seluruh negara itu.
“Sembilan kesalahan utama yang dikesan banyak dilakukan pengguna jalan raya adalah tidak patuh had laju; tidak patuh lampu isyarat; memotong garisan berkembar; memandu di lorong kecemasan; memotong barisan; menggunakan telefon bimbit; tidak memakai tali pinggang atau topi keledar; kenderaan berat memandu di lorong laju serta lebih muatan.
“Sehubungan itu, kita mahu mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi yang dijalankan di Kawasan Rehat dan Rawat Pandan, di sini hari ini.
Tambah Lokman, Operasi Khas HRA 2024 itu akan dilaksanakan pihaknya selama 20 hari bermula semalam hingga 20 April tahun ini.
“Operasi khas tersebut melibatkan lima operasi iaitu Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam; Ops Khas Kenderaan Barangan; Ops Khas Motosikal; Ops Khas Sembilan Kesalahan Utama dan Ops Khas Teknikal.
“Dalam masa sama, kita juga akan melaksanakan pemeriksaan di 54 depoh dan 28 terminal bas utama seluruh negara bagi memastikan kelancaran dan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link