KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan Aidilfitri yang kian menghampiri, pelakon dan personaliti terkenal, Anna Jobling, sekali lagi meneruskan inisiatif istimewa menerusi Projek Kad Raya 2026, sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.
Usaha peribadi yang diteruskan buat tahun ini turut mencerminkan keprihatinan Anna dalam mengekalkan tradisi menghantar kad raya bercetak, yang semakin dilupakan dalam period komunikasi digital masa kini.
Berbeza dengan ucapan melalui platform digital yang bersifat sementara, Anna memilih untuk menyampaikan ucapan Aidilfitri menerusi kad raya bercetak yang direka khas dengan sentuhan peribadi.
Kad raya tersebut akan diedarkan kepada peminat di Malaysia, Indonesia dan Singapura sebagai tanda terima kasih atas sokongan berterusan yang diterima sepanjang kerjayanya dalam industri hiburan.
Menurut Anna, projek berkenaan mempunyai nilai sentimental kerana membolehkan Anna berhubung dengan peminat secara lebih dekat dan tulus.
“Bagi Anna, kad raya bukan sekadar ucapan. Ia satu kenangan yang boleh disimpan. Setiap kali baca maklum balas peminat yang teruja menerima kad ini, Anna rasa usaha kecil ini sangat berbaloi,” katanya.
Bagi tahun ini, sebanyak 1,000 keping kad raya telah disediakan dan proses penghantaran dijangka bermula dalam masa terdekat.
Inisiatif tersebut diharap dapat menjadi simbol penghargaan serta mengeratkan lagi hubungan antara Anna dan para peminat, khususnya dalam meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama.















