[ad_1]
DOHA: Dua gol hasil jaringan Kylian Mbappe dan satu gol Olivier Giroud ketika menumpaskan Poland 3-1 di pusingan 16 terbaik di Stadium Al Thumama sebentar tadi membawa Perancis ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2022.
Gol pertama anak buah Didier Deschamps hadir menerusi Giroud pada minit ke-44 selepas beliau bijak melepasi perangkap ofsaid barisan pertahanan Poland untuk menyudahkan umpanan menarik Mbappe bagi menewaskan Wojciech Szczesny.
Gol jaringan Giroud itu juga meletakkan dia sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat skuad Perancis dengan 52 gol selepas berjaya mengatasi rekod yang dipegang oleh legenda mereka, Thierry Henry (51 gol).
Pada separuh masa kedua, jentera serangan Poland yang diketuai Robert Lewandowski merencanakan serangan bertali arus untuk menyamakan kedudukan namun, berjaya dipatahkan barisan pertahanan Les Bleus.
Ketika berhempas pulas mencari gol penyamaan, skuad kendalian Czeslaw Michniewicz dihukum menerusi gol kedua Perancis pada minit ke-74 menerusi Mbappe yang memanfaatkan hantaran Ousmane Dembele untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Mbappe terus mempamerkan bisanya di peringkat antarabangsa bersama Perancis apabila berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-91 untuk memastikan Les Bleus selesa mendahului Poland 3-0.
Poland mendapat gol saguhati mereka pada minit ke-99 selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan pemain Perancis di dalam kotak penalti dan Lewandowski berjaya untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dengan Perancis akan menempah pertemuan dengan pemenang perlawanan antara England dan Senegal yang akan berlangsung pada pukul 3 pagi nanti.-Agensi
[ad_2]
Source link