[ad_1]
PUTRAJAYA-Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan lanjut kepada 34 pegawai dan anggota jabatan itu yang terlibat kes rasuah.
JKDM menerusi kenyataan berkata, sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota terlibat hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil keputusan siasatan SPRM kelak.
Katanya, pihaknya mengambil maklum berhubung penangkapan 34 orang pegawai dan anggota oleh SPRM berdasarkan kepada akhbar dilaksanakan SPRM hari ini.
“Selaras dengan itu, JKDM ingin menegaskan bahawa pendirian jabatan adalah jelas dan tegas di mana tidak akan berkompromi atau
melindungi mana-mana pegawai dan anggota terlibat salah laku dan pelanggaran integriti termasuk jenayah rasuah.
“Dalam masa yang sama, JKDM juga telah dan sedang’mengambil langkah proaktif secara berterusan bagi mengekang aktiviti rasuah dan ketirisan di pintu sempadan,” katanya malam ini.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai kastam yang ditahan membabitkan mereka yang berpangkat Pembantu Penguasa Kastam sehingga Penolong Pengarah Kastam.
Katanya, seramai 34 anggota dan pegawai JKDM terlibat ditahan selepas dipercayai menerima rasuah berjumlah RM4.7 juta daripada sindiket penyeludupan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Kesemua mereka termasuk 27 orang awam dan pemilik syarikat ejen penghantaran (forwarding agent) diberkas SPRM dalam Op Samba 2.0 bermula 11 hingga 25 Mac lalu.
Mengulas lanjut, JKDM berkata, pihaknya juga akan meneliti semula amalan, prosedur dan tatacara kerja bagi menutup ruang dan peluang rasuah.
Katanya, mereka juga akan mendapatkan pandangan dan syor oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM bagi penambahbaikan yang sewajarnya.
“Akhir sekali, JKDM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak SPRM dalam memerangi jenayah rasuah selaras dengan agenda
utama JKDM pada masa ini dalam memartabatkan nama baik jabatan pada pandangan masyarakat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link