[ad_1]
PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga Tan Sri S. Subramaniam, 78, yang meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam tadi.
Ismail Sabri berkata, beliau telah dimaklumkan tentang pemergian bekas Timbalan Presiden MIC itu yang disifatkan sebagai banyak menabur bakti kepada Keluarga Malaysia.
“Mendapat perkhabaran tentang pemergian Tan Sri S. Subramaniam, bekas Timbalan Presiden MIC yang meninggal dunia malam tadi.
“Mendiang merupakan bekas Ahli Parlimen Damansara dan Ahli Parlimen Segamat yang banyak menabur bakti kepada Keluarga Malaysia,” katanya menerusi satu perkongsian di laman Fb hari ini.
Menurut Ismail Sabri, mendiang juga banyak berjasa kepada negara semasa berkhidmat sebagai Timbalan Menteri di tiga kementerian iaitu Pertanian, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Takziah diucapkan kepada ahli keluarga mendiang dan saya berharap semoga mereka tabah atas kehilangan orang yang tersayang,” katanya.
Difahamkan, mendiang sebelum ini terlantar hampir 11 tahun selepas diserang angin ahmar dan acara pengebumian akan diadakan di rumah keluarganya di Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor, pada Khamis ini.- KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source link