[ad_1]
KUALA LUMPUR: Atlet boling Sabah, Nevern Netaneel Marcellinus berjaya mempertahankan pingat emas bagi acara perseorangan lelaki dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 selepas melakukan 1276 jatuhan pin sebentar tadi.
Lebih manis, kemenangan itu boleh dianggap sebagai penamat sempurna buat atlet berusia 22 tahun tersebut memandangkan ini merupakan penampilan terakhirnya dalam temasya sukan dwitahunan itu.
Meskipun melakukan beberapa kesilapan pada awal aksi, Nevern tetap tenang dan memberi tumpuan penuh demi menghadiahkan emas buat Sabah.
“Memang betul saya ketinggalan pada awal saingan, namun apa yang saya buat adalah kekal tenang serta memperbaiki ketepatan balingan. Saya gunakan setiap peluang yang ada untuk bangkit.
“Secara jujur, saya tidak risau walaupun ketinggalan kerana jika sudah ditakdirkan emas itu bukan menjadi milik saya, memang ia bukan rezeki,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.
Kata atlet kelahiran Kota Kinabalu itu, turun dengan reputasi besar sebagai atlet kebangsaan, penampilannya dalam Sukma edisi ke-20 membuatkannya seolah-olah memakai dua baju kerana turut menggalas harapan rakyat Sabah.
“Saya akui berdepan tekanan cukup tinggi kerana boleh diibaratkan menyarung dua baju, iaitu Sabah dan pasukan kebangsaan. Oleh itu, saya sangat puas hati dengan pencapaian ini,” ujar Nevern.
Mengiringi Nevern di atas podium adalah atlet Pahang, Zainal Haiqal Izwan Suhardi yang memenangi perak dengan 1270 jatuhan pin manakala gangsa menjadi milik Muhammad Hariz Adlan Azman dari Pulau Pinang selepas mencatat 1249 jatuhan pin.
[ad_2]
Source link