JOHOR BAHRU – Seorang pemandu dan tiga penumpang cedera selepas bas ekspres dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tembok pembahagi jalan di Kilometer 11.5 Lebuh Raya Utara Selatan di sini malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 9.50 malam.
“Siasatan awal mendapati bas jenis Scania itu dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun bersama-sama seorang pemandu kedua juga berumur 39 tahun serta lima penumpang.
“Mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Setibanya di lokasi bas berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok batu pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, akibat pelanggaran tersebut, bas mengalami kerosakan teruk khususnya hampir keseluruhan bahagian hadapannya.
Beliau berkata, pemandu kedua mengalami kecederaan terseliuh di bahagian leher, manakala tiga penumpang cedera ringan.
Katanya, semua mangsa yang cedera mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
“Sementara pemandu utama dan dua lagi penumpang disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa. – KOSMO! ONLINE












