KLANG – Seorang ahli perniagaan dan pengacara bebas ditahan polis semalam selepas dipercayai terbabit dalam penerbitan sebuah rancangan bual bicara audio (podcast) yang menyentuh isu agama membabitkan elemen 3R (agama, raja dan kaum).
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an dan 60-an itu ditahan susulan laporan polis berhubung kandungan video klip podcast berkenaan yang diterima kira-kira pukul 11.54 pagi kelmarin.
Menurut beliau, kandungan podcast berkenaan dipercayai membincangkan isu fahaman sekular dan liberal.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 298/504/505(b) Kanun Keseksaan selain
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Jelasnya, pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional, telus dan adil berhubung kes itu.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan proses siasatan pihak polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE













