PETALING JAYA: Kenaikan harga minyak mentah dunia yang kini mencecah AS$110 setong (RM449.07) berisiko meningkatkan tekanan inflasi dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi Malaysia sekiranya berlarutan, terutama menerusi peningkatan kos operasi perniagaan serta penyusutan kuasa beli isi rumah.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kesan kenaikan harga minyak perlu dinilai secara menyeluruh dan bukan berdasarkan manfaat kepada sektor petroleum semata-mata, memandangkan perubahan harga tenaga turut mempengaruhi penggunaan domestik, pelaburan swasta dan kestabilan harga barangan serta perkhidmatan.
“Dalam keadaan harga tenaga yang tinggi, perniagaan berdepan dilema sama ada menyerap kenaikan kos melalui margin keuntungan lebih rendah atau memindahkannya kepada pengguna melalui kenaikan harga.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Kedua-dua keadaan boleh memberikan kesan kepada ekonomi. Margin keuntungan yang mengecil boleh menjejaskan pelaburan dan pengambilan pekerja, manakala kenaikan harga pula mengurangkan kemampuan pengguna berbelanja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, kenaikan harga minyak mentah lazimnya mempengaruhi inflasi melalui kos pengangkutan, pengeluaran, penyimpanan dan pengedaran barangan.
“Sektor pengangkutan, logistik, penerbangan dan pembuatan antara industri yang terdedah kepada perubahan harga bahan api, khususnya apabila peningkatan kos berlaku secara mendadak dan berpanjangan.
“Kesan tersebut boleh merebak kepada harga makanan serta barangan keperluan harian apabila kos penghantaran dan pengeluaran meningkat sepanjang rantaian bekalan.
“Bagaimanapun, kesan terhadap indeks harga pengguna Malaysia bergantung pada mekanisme penetapan harga bahan api, tahap subsidi kerajaan, kadar pertukaran ringgit dan kemampuan syarikat menyerap kenaikan kos.
“Sekiranya tekanan harga berterusan, risiko inflasi menjadi lebih sukar dikawal kerana kenaikan kos tenaga boleh mempengaruhi penetapan harga dalam pelbagai sektor ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pada masa ini, pergerakan harga minyak mentah dunia banyak dipengaruhi oleh tiga faktor utama, iaitu risiko geopolitik, keseimbangan permintaan dan penawaran international, serta keupayaan negara pengeluar minyak untuk memastikan bekalan mencukupi.
“Faktor geopolitik merupakan pemacu utama kenaikan harga minyak ketika ini. Konflik di Asia Barat, khususnya yang melibatkan Iran dan risiko keselamatan laluan perdagangan tenaga, telah meningkatkan kebimbangan pasaran terhadap kemungkinan gangguan bekalan.
“Selat Hormuz amat penting kerana laluan ini merupakan salah satu koridor utama perdagangan minyak dunia. Sebarang gangguan terhadap pergerakan kapal tangki, kemudahan pengeluaran atau infrastruktur eksport minyak boleh menyebabkan bekalan international menjadi lebih ketat.
“Pasaran minyak tidak perlu menunggu sehingga bekalan benar-benar terputus untuk bertindak balas. Kebimbangan bahawa gangguan mungkin berlaku sudah cukup untuk meningkatkan premium risiko geopolitik, sekali gus menaikkan harga minyak mentah,” katanya.
Menurutnya, permintaan international turut menentukan sejauh mana kenaikan harga ini dapat bertahan.
“Pertumbuhan ekonomi dunia, khususnya di China, India dan negara-negara Asia yang sedang berkembang, mempengaruhi permintaan terhadap bahan api bagi pengangkutan, industri, penerbangan dan penjanaan tenaga.
“Bagaimanapun, harga minyak yang terlalu tinggi boleh mengurangkan permintaan. Kos tenaga yang meningkat menekan keuntungan syarikat dan pendapatan boleh guna isi rumah. Jika keadaan ini berterusan, aktiviti ekonomi mungkin menjadi perlahan dan penggunaan minyak turut berkurangan.
“Bekalan daripada negara pengeluar minyak juga memainkan peranan penting. Keputusan OPEC+, khususnya Arab Saudi dan Rusia, untuk meningkatkan atau mengehadkan pengeluaran boleh mempengaruhi keseimbangan pasaran,” katanya. – UTUSAN