PETALING JAYA – Penyerang Norway, Erling Haaland muncul pemain yang mencatat pertambahan pengikut (followers) Instagram paling tinggi sepanjang kempen Piala Dunia 2026 dengan peningkatan sebanyak 32.1 juta pengikut.
Menerusi hantaran platform Threads oleh idextratime, jumlah pengikut Haaland meningkat daripada 40.6 juta sebelum kejohanan kepada 72.7 juta selepas tirai Piala Dunia 2026 dilabuhkan.
Turut mencuri perhatian ialah penjaga gol Cape Verde, Vozinha yang mencatat lonjakan luar biasa sebanyak 29.4 juta pengikut selepas akaun Instagram miliknya meningkat daripada hanya 30,000 pengikut kepada 29.4 juta.
Bintang England, Jude Bellingham pula berada di kedudukan ketiga apabila memperoleh tambahan 12 juta pengikut, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pengikutnya meningkat kepada 53.3 juta.
Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo berada di tangga keempat dengan pertambahan 11.4 juta pengikut, menjadikan jumlah keseluruhan pengikutnya mencecah 677 juta.
Pemain sensasi Sepanyol, Lamine Yamal melengkapkan kelompok lima teratas selepas menambah 11 juta pengikut untuk mengumpul keseluruhan 54.3 juta pengikut.
Turut berada dalam kelompok 10 teratas ialah Neymar dari Brazil dengan pertambahan 7.7 juta pengikut, diikuti Lionel Messi (7.5 juta), Gilberto Mora dari Mexico (6.6 juta), Michael Olise dari Perancis (5.7 juta) dan Endrick dari Brazil (5.6 juta).
Perkembangan itu menunjukkan impak besar Piala Dunia 2026 bukan sahaja di atas padang, malah turut melonjakkan populariti pemain di media sosial apabila aksi cemerlang mereka menjadi perhatian jutaan peminat di seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE

















