SLOVENIA: Pelumba Belgium, Remco Evenepoel menebus kekecewaan gagal mempertahankan kejuaraan dunia apabila muncul juara Kejohanan Eropah 2026 di Slovenia, semalam.
Memuatkan artikel berkaitan…
Pemenang pingat emas perlumbaan jalan raya Sukan Olimpik Paris 2024 itu menewaskan pelumba Itali, Giulio Ciccone menerusi foto penamat selepas kedua-duanya mencatat masa sama dalam perlumbaan sejauh 196 kilometer (km).
Rakan senegara Ciccone, Christian Scaroni melengkapkan podium di tempat ketiga, hampir seminit di belakang.
Evenepoel mengakui kemenangan itu cukup melegakan selepas kecewa apabila gagal merebut gelaran dunia pada perlumbaan di Montreal, Kanada, minggu lalu.
“Ini sesuatu yang luar biasa. Saya menyangka saya sudah menang, tetapi anda tidak pernah boleh benar-benar pasti.
“Perlumbaan ini sememangnya sangat sukar buat saya selepas kekecewaan di kejohanan dunia.
“Ini satu kelegaan besar kerana dapat kembali berada pada tahap terbaik hari ini dan melengkapkan koleksi jersi kejuaraan saya. Ia sesuatu yang sangat menggembirakan,” katanya.
Evenepoel, 26, sebelum ini muncul juara dunia pada 2022 selain memenangi emas ujian masa Kejohanan Eropah pada 2019 dan 2025.
Kemenangan di Slovenia itu turut menyaksikan pelumba Pink Bull-Bora-Hansgrohe berkenaan melengkapkan koleksi kejuaraan Eropah dan dunia selepas sebelum ini menduduki tempat kedua dalam perlumbaan Eropah pada 2021 dan tahun lalu. – AFP