PETALING JAYA – Alam Maritim Sources Berhad mengesahkan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Azmi Ahmad direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Syarikat berkenaan bagaimanapun menegaskan penahanan tersebut tidak berpunca daripada sebarang salah laku.
“Lembaga pengarah telah mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan kesinambungan operasi kumpulan.
“(Lembaga pengarah juga) akan membuat pengumuman selanjutnya sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Sabtu lalu, SPRM menahan tujuh individu termasuk seorang CEO, pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan Tabung Haji bersabit Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu.
Bagaimanapun, hanya dua suspek termasuk CEO direman manakala lima lagi dilepaskan dengan jaminan kerana masalah kesihatan. – KOSMO! ONLINE