GAZA: Kebuluran dan kekurangan zat makanan terus membelenggu penduduk Gaza meskipun gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang berkuat kuasa sejak setahun lalu sepatutnya membuka laluan kepada kemasukan lebih banyak bantuan ke wilayah perang itu.
Bagi ribuan keluarga yang terjejas, mendapatkan makanan setiap hari kekal sebagai perjuangan paling mencabar, dengan ada yang terpaksa beratur selama berjam-jam di dapur komuniti demi memastikan keluarga mereka tidak kelaparan.
Niyaha al-Masri, 35, berkata dia menghabiskan masa sekurang-kurangnya enam jam setiap hari untuk beratur di dapur komuniti bagi mendapatkan makanan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Katanya, tanpa bantuan makanan yang disediakan kumpulan kemanusiaan itu, dia dan lapan anaknya tidak mempunyai sebarang hidangan untuk dimakan.
Setiap hari, Niyaha perlu keluar awal dan pulang pada sebelah petang dengan membawa empat bekas berisi nasi, kacang dal serta sedikit ayam untuk dikongsi bersama keluarga.
Bagi keluarga besar itu, makanan yang diperoleh hanya cukup untuk satu hidangan sehari, manakala mereka terpaksa menahan lapar sepanjang hari tanpa sarapan dan makan malam.
Pada Ogos 2025, badan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Klasifikasi Bersepadu Fasa Keselamatan Makanan (IPC), mengisytiharkan kebuluran di Gaza, namun Israel segera menafikannya sebagai pembohongan.
Menjelang Disember, PBB menarik balik pengisytiharan itu dengan menyatakan gencatan senjata membolehkan bekalan mencukupi memasuki Gaza dalam tempoh dua bulan, sekali gus membantu mengurangkan keadaan kebuluran.
COGAT, badan di bawah Kementerian Pertahanan Israel yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal awam di wilayah Palestin, memberitahu AFP keadaan kemanusiaan di Gaza adalah stabil.
Bagaimanapun, Shaun Hughes daripada Program Makanan Sedunia (WFP) PBB berkata, keadaan kekurangan makanan di Gaza masih sangat serius.
Menurutnya, angka terkini dari Julai menunjukkan seramai 1.4 juta daripada kira-kira 2.1 juta penduduk Gaza berdepan masalah kekurangan makanan yang serius, dengan 200,000 daripada mereka berada hanya satu tahap di bawah kebuluran.
Walaupun sebahagian bekalan makanan sudah memasuki Gaza, kekurangan makanan berkhasiat masih mengancam kesihatan penduduk. – UTUSAN